FEBRUARI 2023

Sarawak Sedang Kaji Wujudkan Skim Gaji Sendiri Penjawat Awam Negeri


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin lebih ramai rakyat Sarawak yang bekerja di luar negara akan kembali ke Sarawak.

Ini kerana hasil pendapatan Sarawak yang mencecah RM12 bilion tahun lalu dan boleh menawarkan gaji yang baik kepada mereka.

 "Kami boleh menawarkan gaji yang baik, menyediakan teknologi dan mereka boleh menggunakan pengetahuan dalam bidang baharu,”katanya ketika menyempurnakan Majlis Makan Malam Land And Survey (LANDAS) Summit 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini.

Abang Johari juga berkata, Kerajaan Sarawak sedang menjalankam kajian mewujudkan skim gaji sendiri bagi penjawat awam negeri  susulan gaji yang diterima ketika ini sudah lagi tidak relevan.

Katanya, beliau berusaha memikirkan cara mengatur semula skim pencen sedia ada sebaliknya mewujudkan skim gaji sendiri untuk penjawat awam negeri sealiran dengan pengurusan di sini.

Katanya, seperti yang dinyatakan sebelum ini, kerajaan sedang mencari cara untuk memberi ganjaran yang lebih baik kepada penjawat awam Sarawak kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai tangga gaji yang tidak sesuai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei  (JTS), Datuk Abdullah Julaihi di majlis itu berkata jabatan itu berjaya menyukat seluas 1.154 juta hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi Seksyen 6 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN)  setakat 31 Januari lalu.

Manakala, seluas 77,993 hektar tanah juga telah diukur merangkumi 22,627.58 kilometer (km) tahun lalu.

“Ia melibatkan projek infrastruktur jalan raya, jajaran bekalan elektrik dan air, jajaran transit kereta api autonomi (ART) serta pengwujudan tapak menara-menara komunikasi,” katanya.

GAMBAR:UKAS

Sumber dari : Jiwa Bakti